Geopolitic

Pelan ‘21 perkara’ untuk Gaza

Trump telah membentangkan satu pelan untuk menamatkan perang Gaza, ketika agensi pertahanan awam Gaza melaporkan berpuluh-puluh kematian setiap hari akibat serangan tidak berhenti zionis ke atas Gaza.

Pelan 21 perkara untuk keamanan di Timur Tengah dan Gaza” dibentangkan di dalam mesyuarat dengan sekumpulan pemimpin dari negara Arab dan Islam.

Sumber diplomatik memberitahu Al Jazeera bahawa pasukan perunding Hamas sedang meneliti pelan ini.

Pelan itu telah disambut baik oleh beberapa negara, termasuk Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir, Itali, Perancis dan United Kingdom, serta Pihak Berkuasa Palestin.

Pelan 21 Perkara.

1.       Gaza akan menjadi zon bebas radikalisasi dan keganasan yang tidak menimbulkan ancaman.

2.       Gaza akan dibangunkan semula.

3.       Jika Israel dan Hamas bersetuju dengan cadangan ini, perang akan segera ditamatkan, dengan IOF menghentikan semua operasi dan berundur secara berperingkat dari Gaza.

4.       Dalam tempoh 48 jam selepas Israel menerima perjanjian ini secara terbuka, semua tebusan yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia akan dipulangkan.

5.       Setelah tebusan dipulangkan, Israel akan membebaskan beberapa ratus tahanan keselamatan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan lebih 1,000 penduduk Gaza yang ditahan sejak perang bermula, bersama jenazah rakyat Palestin.

6.       Setelah tebusan semua dipulangkan, ahli Hamas yang komited kepada kehidupan bersama secara aman akan diberikan pengampunan, manakala ahli yang ingin meninggalkan Gaza akan diberikan laluan selamat ke negara penerima.

7.       Setelah perjanjian ini dicapai, bantuan kemanusiaan akan memasuki Gaza pada kadar tidak kurang daripada 600 lori bantuan sehari, termasuk pemulihan infrastruktur kritikal serta kemasukan peralatan untuk membersihkan runtuhan.

8.       Bantuan akan diagihkan tanpa campur tangan mana-mana pihak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bulan Sabit Merah, bersama organisasi antarabangsa lain yang tidak berhubung dengan Israel atau Hamas.

9.       Gaza akan ditadbir oleh kerajaan sementara peralihan yang terdiri daripada teknokrat Palestin. Jawatankuasa ini akan diawasi oleh sebuah badan antarabangsa baharu yang ditubuhkan oleh AS dengan perundingan bersama rakan Arab dan Eropah.

10.   Badan antarabangsa ini akan membangunkan kerangka pembiayaan pembangunan semula Gaza sehingga Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyelesaikan program reformasinya.

11.   Program ini juga akan menyediakan mekanisme pemantauan antarabangsa untuk memastikan ketelusan dalam penggunaan dana dan keberkesanan pelaksanaan pembangunan semula Gaza.

12.   Tiada siapa akan dipaksa meninggalkan Gaza, tetapi mereka yang memilih untuk keluar akan dibenarkan kembali.

13.   Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza. Akan ada komitmen untuk memusnahkan dan menghentikan pembinaan infrastruktur ketenteraan ofensif, termasuk terowong. Pemimpin baharu Gaza akan berkomitmen kepada kehidupan bersama secara aman dengan jiran-jiran mereka.

14.   Jaminan keselamatan akan diberikan oleh rakan serantau untuk memastikan Hamas dan puak Gaza lain mematuhi kewajipan mereka dan bahawa Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.

15.   AS akan bekerjasama dengan negara Arab dan rakan antarabangsa lain untuk membentuk pasukan penstabilan antarabangsa sementara yang akan segera dikerahkan ke Gaza untuk mengawasi keselamatan di wilayah itu. Pasukan ini akan membangunkan dan melatih pasukan polis Palestin, yang akan berfungsi sebagai badan keselamatan dalaman jangka panjang.

16.   Israel tidak akan menduduki atau menggabungkan Gaza, dan IOF akan menyerahkan secara berperingkat wilayah yang kini didudukinya apabila pasukan keselamatan pengganti menegakkan kawalan dan kestabilan di Gaza.

17.   Jika Hamas melambatkan atau menolak cadangan ini, perkara-perkara di atas akan tetap dilaksanakan di kawasan bebas keganasan, yang akan diserahkan secara berperingkat oleh IOF kepada pasukan penstabilan antarabangsa.

18.   Israel bersetuju untuk tidak melancarkan serangan masa depan di Qatar. AS dan komuniti antarabangsa mengiktiraf peranan penting Doha sebagai perantara dalam konflik Gaza.

19.   Satu proses akan ditubuhkan untuk menyah-radikalkan penduduk. Ini termasuk dialog antara agama yang bertujuan mengubah cara berfikir dan naratif di Israel dan Gaza.

20.   Apabila pembangunan semula Gaza dilakukan dan program reformasi PA dilaksanakan, keadaan mungkin wujud untuk membuka laluan yang kredibel ke arah penubuhan negara Palestin, yang diiktiraf sebagai aspirasi rakyat Palestin. (Namun, klausa ini tidak memberikan butiran lanjut tentang program reformasi dan tidak menetapkan tempoh masa yang muktamad.)

21.   AS akan menubuhkan dialog antara Israel dan Palestin untuk mencapai kata sepakat mengenai hala tuju politik demi kehidupan bersama secara aman.

Perang Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 66,055 nyawa dan mencederakan 168,346 orang sejak Oktober 2023. Ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan. Sejumlah 1,139 orang terbunuh di Israel semasa serangan pada 7 Oktober 2023, dan kira-kira 200 orang telah dijadikan tawanan.

Menurut wartawan yang melaporkan situasi di Gaza, Hind Khoudary, penduduk kini sudah terlalu letih. Mereka sedang menunggu sebarang berita baik dan harapan mereka sangat tinggi. Hind Khoudry yang berada di kawasan di mana penduduk dari Bandar Gaza telah berpindah menyatakan penduduk tidak mempunyai tempat untuk dituju, lalu mendirikan khemah di tepi jalan pesisir pantai. Tiada air minuman, dapur hidangan panas, tiada pusat perubatan. Orang ramai sedang mati akibat kekurangan zat makanan. Mereka sangat terdesak untuk gencatan senjata, walaupun hanya untuk beberapa hari.

Netanyahu bersama Trump mempunyai agenda sendiri melalui 'pelan 21 perkara' ini yang seolah-olah mahu membangunkan Gaza, tetapi hakikatnya wilayah milik Palestin ini akan diletakkan dalam kawalan rejim kejam zionis dan sekutunya sepenuhnya.

Oleh Norain Yusoff

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply