Economy

Sarawak perkukuh data berdaulat, sasar bangunkan konstelasi satelit menjelang 2030

KUCHING: Sarawak sedang memperkukuh ekosistem data berdaulat bagi menyokong perancangan pembangunan, pelaksanaan bandar pintar serta mempercepatkan pelaksanaan projek di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pendekatan data berdaulat membolehkan data kerajaan disimpan dan diurus menggunakan infrastruktur milik sendiri sebelum dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan.

Menurutnya, platform berkenaan menghimpunkan pelbagai data yang boleh digunakan untuk tujuan perancangan, termasuk pembangunan bandar pintar yang meliputi maklumat kawasan kediaman dan perniagaan, rangkaian jalan raya, kesalinghubungan bandar serta pengangkutan awam.

“Dengan data ini, kita dapat melaksanakan projek dengan lebih pantas serta mempercepatkan usaha mencari penyelesaian berdasarkan data yang telah dikumpulkan dalam satu platform,” katanya ketika berucap pada pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan Berdaulat Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata tidak semua data boleh dikongsi secara terbuka berikutan perbezaan antara data strategik yang boleh dikongsikan dengan data berkaitan keselamatan yang perlu dilindungi.

Bagaimanapun, katanya, akses kepada data tertentu boleh diberikan kepada pihak luar, termasuk pelabur yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak.

“Sebagai contoh, sekiranya pelabur mahu membangunkan kilang pembuatan berkaitan biodiversiti, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi, keluasan tanah serta data berkaitan menerusi platform itu sebelum mengemukakan permohonan kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan untuk membangunkan konstelasi satelit sendiri menjelang 2030 bagi memperkukuh keupayaan negeri memperoleh data dan isyarat dari bumi.

Beliau berkata konstelasi itu akan terdiri daripada sekurang-kurangnya enam satelit yang saling berhubung, sekali gus membolehkan data dari bumi diperoleh hampir secara berterusan.

“Dengan konstelasi ini, kita boleh memperoleh data dari bumi hampir sepanjang masa, 24 jam sehari,” katanya.

Sumber Info: Bernama 
Sumber Gambar: Berita Harian 

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2595583 


What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
1
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply