World

Peru isytihar darurat di 607 daerah susulan risiko kekurangan air

LIMA: Peru mengisytiharkan darurat selama 60 hari di sekurang-kurangnya 607 daerah di 16 wilayah susulan risiko kekurangan bekalan air yang boleh menjejaskan penduduk dan aktiviti ekonomi setempat, lapor Xinhua.

Langkah itu diwartakan menerusi Dekri Tertinggi yang diterbitkan pada Khamis bagi membolehkan pelaksanaan “langkah dan tindakan luar biasa, segera serta perlu” untuk menangani kekurangan air menjelang musim hujan 2026-2027.

Menurut dekri itu, langkah berkenaan bertujuan mengurangkan tahap risiko yang dikategorikan sebagai “sangat tinggi” di kawasan terjejas, selain memperkukuh usaha tindak balas dan pemulihan.

Kerajaan wilayah dan pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan langkah berkenaan di bawah penyelarasan teknikal serta pemantauan Institut Pertahanan Awam Kebangsaan (Indeci), dengan sokongan kementerian berkaitan dan entiti awam serta swasta.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan teknikal Indeci yang memberi amaran mengenai penyusutan aliran sungai serta penurunan berterusan paras takungan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap ketersediaan bekalan air.

Laporan berkenaan turut mengambil kira pengaruh fenomena El Nino di kawasan tengah Pasifik khatulistiwa yang berpotensi meningkatkan risiko terhadap sektor pertanian, penternakan dan kesejahteraan penduduk.

Kerajaan dijangka melaksanakan tindakan pencegahan dan tindak balas bagi mengurangkan kesan kekurangan air di kawasan yang dikenal pasti terjejas.

Sumber Berita: Bernama - Agensi Xinhua - Astro Awani
Sumber Gambar: UNICEF 

https://www.astroawani.com/berita-dunia/peru-isytihar-darurat-di-607-daerah-susulan-risiko-kekurangan-air 
https://english.news.cn/20260814/7cf83f431081410e90c805ab4965d1b0/c.html 


What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
1
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply