PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang membebaskan beliau daripada semua sabitan dan hukuman berkaitan kes dana Armada Bersatu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah tertinggi negara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu, manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, memberikan keputusan berbeza.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan sebelum ini.
Bercakap kepada media selepas prosiding, Syed Saddiq menyifatkan keputusan berkenaan sebagai bukti pentingnya kebebasan institusi kehakiman dalam menjamin keadilan kepada rakyat.
"Manusia boleh merancang, Allah SWT yang menentukan. Saya percaya setiap ujian dan cabaran yang dilalui mempunyai hikmah tersendiri," katanya.
Beliau berkata, sepanjang enam tahun berdepan siasatan dan proses perundangan, beliau tidak pernah mengambil jalan mudah atau mengharapkan layanan istimewa.
"Saya tidak tunduk, tidak takut, tidak guna jalan pintas dan tidak minta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya pegang kepada prinsip berani kerana benar," katanya.
Menurut beliau, tempoh berkenaan memberi kesan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan.
Syed Saddiq turut menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman perlu terus dipertahankan kerana institusi itu menjadi tempat terakhir rakyat mendapatkan pembelaan apabila berdepan ketidakadilan.
Beliau berkata keputusan yang diperoleh hari ini bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya menjadi peringatan mengenai pentingnya mempertahankan institusi negara yang bebas dan berintegriti.
"Ini bukan tentang saya semata-mata. Ramai yang telah berjuang dan berkorban demi masa depan negara. Harapan saya, selepas ini saya dapat terus menabur bakti kepada negara tercinta," katanya.
Sumber Berita: Astro Awani
Sumber Gambar: Utusan Malaysia
Comments
Leave a Reply