ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menafikan bahawa sebarang rundingan dengan Iran sedang berlangsung atau dirancang, sambil menegaskan Selat Hormuz kekal dibuka meskipun sekatan laut yang dikenakan Washington, lapor Anadolu Ajansi.
“Tiada rundingan atau perbincangan sedang berlangsung atau dijadualkan dengan Iran.
“Sekatan laut kekal berkuat kuasa sepenuhnya. Selat Hormuz dibuka dan beroperasi. Semua periuk api laut telah dialihkan atau diletupkan,” katanya menerusi platform Truth Social.
Sementara itu, CNN, memetik seorang pegawai AS, melaporkan Trump telah mengarahkan utusan kanan pentadbirannya supaya menghentikan perbincangan dengan Iran.
Menurut laporan itu, arahan berkenaan diberikan kepada Naib Presiden JD Vance serta utusan Steve Witkoff dan Jared Kushner selepas beberapa “perbincangan positif” dengan Tehran.
Kushner berada di Israel pada Isnin dan bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi membincangkan isu serantau, termasuk perkembangan di Semenanjung Gaza.
Selepas pertemuan itu, Kushner memberitahu Fox News bahawa komunikasi antara AS dan Iran kini “lebih kukuh” berbanding sebelum ini.
Tehran dan Washington sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata pada April sebelum menandatangani memorandum persefahaman pada Jun, yang bertujuan menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua pihak serta mencapai perjanjian damai berkekalan.
Bagaimanapun, usaha itu gagal bulan lalu apabila Iran dan AS saling melancarkan serangan selama hampir dua minggu, sebelum Trump menghentikan pengeboman ketika usaha sedang dijalankan untuk menghidupkan semula perjanjian berkenaan.
Sumber Info: Bernama - Anadolu (Agensi)
https://www.bernama.com/en/world/news.php?id=2596168
Comments
Leave a Reply