World

Hutang Amerika Syarikat lepasi AS$40 trilion, CBO beri amaran risiko ekonomi

WASHINGTON: Hutang negara Amerika Syarikat (AS) melepasi paras AS$40 trilion buat kali pertama, mencerminkan tekanan fiskal yang semakin meningkat terhadap ekonomi terbesar dunia itu.

Data Jabatan Perbendaharaan AS menunjukkan hutang negara kasar mencecah AS$40.05 trilion setakat 18 Ogos 2026, hanya lima bulan selepas melepasi AS$39 trilion pada Mac lalu dan AS$38 trilion pada Oktober 2025.

Peningkatan itu didorong oleh defisit belanjawan yang berterusan, peningkatan kos pinjaman kerajaan serta pembayaran faedah hutang yang semakin tinggi.

Pada masa sama, perbelanjaan bagi program kebajikan seperti Social Security dan Medicare turut meningkat susulan penuaan populasi AS.

Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) mengunjurkan hutang negara kasar AS akan meningkat kepada AS$63 trilion menjelang 2036, manakala defisit tahunan dijangka meningkat daripada kira-kira AS$2.1 trilion pada tahun fiskal semasa kepada AS$3.1 trilion dalam tempoh sedekad akan datang.

Hutang yang dipegang oleh orang awam pula mencecah AS$31.27 trilion pada Mac lalu, mengatasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS sebanyak AS$31.22 trilion.

Menurut CBO, nisbah hutang awam kepada KDNK dijangka terus meningkat dan boleh mencapai sekitar 120 peratus menjelang 2036, berbanding rekod 106 peratus pada 1946.

Ketua Pegawai Eksekutif Peter G. Peterson Foundation, Michael A. Peterson berkata peningkatan hutang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup melalui kos pinjaman yang lebih tinggi, termasuk gadai janji, pinjaman kenderaan dan hutang kad kredit.

Beliau berkata pembayaran faedah hutang kerajaan kini melebihi perbelanjaan pertahanan negara, manakala beban hutang yang semakin besar berpotensi mengekang pertumbuhan ekonomi dan pendapatan isi rumah.

CBO turut memberi amaran bahawa hutang yang meningkat lebih pantas daripada KDNK boleh mengurangkan pelaburan sektor swasta dan meningkatkan kos faedah kerajaan.

Dalam jangka panjang, keadaan itu berisiko mencetuskan krisis fiskal sekiranya keyakinan pelabur terhadap kemampuan kerajaan mengurus hutang terhakis, selain berpotensi memberi kesan kepada ekonomi dan kewangan global serta kedudukan dolar AS sebagai mata wang rizab utama dunia.

Peterson berkata masih terdapat pilihan dasar untuk menangani cabaran fiskal itu, namun tindakan segera diperlukan bagi melindungi kemakmuran ekonomi dan taraf hidup generasi akan datang.


Sumber Info: Astro Awani - Agensi 
Sumber Gambar: JPMorgan

https://www.astroawani.com/berita-dunia/hutang-amerika-syarikat-cecah-as40-trilion-meningkat-lebih-dua-kali-ganda-dalam-tempoh-sedekad 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
1
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply