WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata rundingan antara AS dan Iran masih diteruskan, hanya beberapa jam selepas Iran dan Israel dilaporkan bersetuju menghentikan serangan antara kedua-dua negara yang sebelum ini mengancam usaha gencatan senjata.
Menurut Anadolu Ajansi, Trump memaklumkan rundingan dengan Tehran tidak terhenti meskipun ketegangan ketenteraan semakin memuncak, malah memberi bayangan bahawa satu perjanjian rasmi bagi menamatkan konflik itu mungkin dapat dicapai dalam tempoh “satu atau dua hari lagi.”
“Mereka saling menyerang, namun kini kedua-dua pihak bersetuju melalui saya untuk menghentikannya. Kami kini berada pada fasa terakhir ke arah satu perjanjian yang sangat baik yang tidak akan membenarkan Iran membangunkan senjata nuklear dalam apa jua bentuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan akhir NBA di New York awal pagi Selasa.
Trump turut berkata Selat Hormuz dijangka dibuka semula sejurus selepas perjanjian dimeterai, yang menurutnya mungkin berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Ketegangan di rantau Asia Barat terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Situasi menjadi semakin genting apabila Israel melancarkan serangan ke atas ibu negara Lubnan, Beirut, pada Ahad walaupun gencatan senjata sebelum ini dipersetujui di negara itu.
Tindakan itu mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah utara Israel sebagai tindak balas, manakala Israel pula meneruskan beberapa siri serangan udara terhadap Iran.
Tentera Iran pada Isnin memaklumkan pihaknya menghentikan serangan terhadap Israel, namun memberi amaran akan melaksanakan tindak balas yang “menghancurkan” sekiranya serangan Israel ke atas Lubnan diteruskan.
Sementara itu, media Israel yang memetik pegawai tidak dinamakan melaporkan Israel bersetuju menghentikan serangan udara terhadap Iran, namun operasi ketenteraan di selatan Lubnan akan diteruskan.
Sumber: BERNAMA - ANADOLU
Comments
Leave a Reply