JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penahanan 72 individu yang disyaki sengaja membakar hutan dan tanah gambut sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan menjejaskan beberapa kawasan di Asia Tenggara, lapor CNA.
Tindakan itu diambil ketika Indonesia berdepan kebakaran hutan dan tanah berskala besar yang dipengaruhi fenomena El Nino serta musim kemarau berpanjangan.
Pengarah Jenayah Khas Agensi Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim), Mohammad Irhamni, berkata kesemua suspek ditahan untuk disiasat atas dakwaan melakukan pembakaran terbuka bagi membersihkan kawasan untuk tujuan perladangan pada kos lebih rendah.
Menurut beliau, siasatan membabitkan 89 kes kebakaran hutan dan tanah di lima wilayah di Kalimantan serta empat wilayah di Sumatera.
Pihak penyiasat turut meneliti rekod kewangan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan atau pembiayaan daripada syarikat perladangan dalam aktiviti pembukaan tanah berkenaan.
Di bawah undang-undang alam sekitar Indonesia, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda serta hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melawat Kalimantan Tengah bagi meninjau kawasan terjejas yang melibatkan lebih 7,600 hektar tanah terbakar.
Beliau turut mengarahkan penggunaan helikopter pengebom air dan aset lain bagi membantu operasi memadam kebakaran.
Pada masa sama, sekurang-kurangnya empat syarikat perladangan di Kalimantan Barat sedang disiasat atas dakwaan menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan tanah.
Jika didapati bersalah, syarikat terbabit boleh dikenakan pelbagai tindakan, termasuk pembatalan permit operasi.
Sumber Info: Astro Awani - Agensi CNA
https://www.astroawani.com/berita-dunia/indonesia-tahan-72-suspek-kebakaran-hutan-siasat-kemungkinan-pembabitan-syarikat
Comments
Leave a Reply