SEREMBAN, 29 Julai -- Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 telah menunaikan tanggungjawab mereka semalam, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata seramai 16,467 anggota tentera dan polis serta pasangan layak mengundi secara awal bagi PRN kali ini.
Beliau berkata proses pengundian yang berlangsung di 38 pusat pengundian awal di seluruh negeri bermula pada 8 pagi sebelum ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.
"Sebanyak 18 pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, dua pusat pada 2 petang manakala 18 lagi ditutup sepenuhnya pada 5 petang," katanya dalam kenyataan.
Khairul Shahril berkata SPR turut merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya, pasukan petugas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan dalam memastikan proses pengundian awal berjalan lancar.
Secara keseluruhan, pengundian awal PRN Negeri Sembilan melibatkan 22,339 pemilih, dengan 16,467 mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 anggota tentera dan pasangan serta 5,174 anggota polis dan pasangan, manakala selebihnya mengundi secara pos.
Seramai 867,151 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Sabtu ini.
Sumber Berita: Bernama
Sumber Gambar: Astro Awani
https://prn.bernama.com/n9/berita/2587180/prn-ns-91-06-peratus-pengundi-awal-tunai-tanggungjawab-lepasi-sasaran-ditetapkan-spr
Comments
Leave a Reply