KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan segera meneliti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
Dalam kenyataan, AGC memaklumkan pihaknya menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengelaskan semula laporan RCI berkenaan dan mendedahkannya kepada umum.
Menurut AGC, jabatan itu memandang serius penemuan yang terkandung dalam laporan berhubung aspek pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku membabitkan TH.
Katanya, penelitian terhadap laporan itu akan dilaksanakan segera bagi memastikan semua aspek siasatan oleh badan penguat kuasa dapat dijalankan secara menyeluruh dan komprehensif sebelum pertimbangan dibuat sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
AGC berkata tindakan itu selaras dengan tanggungjawab perlembagaannya untuk memastikan setiap siasatan dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang serta bukti yang diperoleh.
Menurut kenyataan itu, sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima di mahkamah tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
AGC turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan, selain menegaskan langkah itu penting bagi memelihara integriti siasatan serta mengekalkan keyakinan terhadap kewibawaan dan peranan Lembaga Tabung Haji seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995.
Sumber Berita: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/agc-segera-teliti-laporan-rci-tabung-haji-nilai-keperluan-pendakwaan
Comments
Leave a Reply