Economy

Citrawarna 2026 Melabuh Tirai Dengan Gemilang, Terus Memperkasakan Legasi Seni Warisan Negara

KUALA LUMPUR — Festival kebudayaan paling ikonik negara, Citrawarna 2026, rasmi melabuhkan tirainya selepas tiga hari penganjuran penuh warna-warni di Dataran Merdeka pada 24 - 26 Julai lepas. Selepas hampir enam tahun tidak dianjurkan, penganjuran kali ini membuktikan bahawa penantian warga tempatan dan pelancong antarabangsa tidak sia-sia apabila sambutan yang amat dinanti-nantikan ini berjaya mencipta detik sejarah yang gemilang dan sukar dilupakan.

Dianjurkan oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bertemakan "Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa", Citrawarna 2026 menjadi pentas utama dalam menyerlahkan kekayaan seni, budaya dan identiti berbilang kaum di Malaysia.

Pihak penganjur berserta barisan peserta dan penggiat seni tidak menghampakan harapan tinggi pengunjung. Majlis kemuncak perayaan ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.

Turut hadir memberi sokongan penuh kepada kejayaan penganjuran ini ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Sepanjang tiga hari festival berlangsung, dedikasi serta kerjasama erat pelbagai pihak telah menghidupkan suasana Dataran Merdeka menerusi empat segmen utama:

  1. Citra Perarakan: Kemuncak acara yang menghimpunkan 14 kontinjen dengan penyertaan lebih 3,500 penari dan pemuzik kebudayaan dari seluruh negara, memperagakan busana serta tarian tradisi pelbagai kaum.

  2. Citra Rasa: Mengetengahkan pelbagai variasi hidangan dan kulinari tradisional warisan pelbagai negeri.

  3. Citra Budaya: Pameran serta persembahan interaktif kebudayaan yang mendekatkan pengunjung dengan keunikan tradisi tempatan.

  4. Citra Seni: Reruai bengkel seni seperti mencanting batik, menganyam dan seni kraf tangan warisan.

Kemeriahan acara turut disemarakkan dengan persembahan bertenaga daripada barisan artis tersohor tanah air seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Wani Kayrie, Dr. Soo Wincci, Santesh Kumar serta Kumpulan Zeppo Youngster dan Balle-Balle.

Citrawarna 2026 turut membuktikan daya tarikan globalnya apabila berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan khas dari negara seperti China, India, Jepun, Vietnam, Indonesia, Itali, Perancis, Switzerland, Perancis, Singapura, Indonesia, Kazakhstan dan Mauritius, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kebudayaan utama di rantau ini dan secara tidak langsung membuktikan hospitaliti negara yang tiada nilainya.

Kejayaan penganjuran kali ini mencetuskan harapan tinggi agar acara Citrawarna dapat terus dianjurkan secara berterusan pada masa hadapan. Usaha ini amat penting bukan sahaja untuk memperkenalkan keunikan warisan kepada pelancong asing, malah bagi menyemai rasa bangga serta memelihara khazanah seni budaya dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri merentasi segenap lapisan generasi, sekali gus membawanya ke persada antarabangsa dan mata dunia.

 

Sumber Gambar: Access Newswire

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply