ATHENS: Kira-kira 8,000 penduduk dan pelancong dipindahkan selepas kebakaran hutan yang semakin marak memaksa pihak berkuasa Greece mengisytiharkan darurat di perbandaran Agios Vasileios, Rethymno, di selatan Pulau Crete pada Khamis.
Menurut Xinhua, kebakaran di Rethymno kini menjadi insiden paling kritikal yang masih aktif di Greece, dengan kawasan terjejas menjangkau lebih 15 kilometer, menurut penyiar kebangsaan Greece, ERT.
Satu lagi kebakaran turut dilaporkan berhampiran Kampung Asomatos sebelum merebak ke arah Preveli, kawasan pesisir yang terkenal dengan pantai dan tarikan pelancong.
Anggota bomba terus berusaha mengawal kebakaran di Agios Vasileios, namun operasi pemadaman berdepan cabaran susulan angin kencang sehingga 125 kilometer sejam serta jarak penglihatan yang hampir sifar. Keadaan cuaca ekstrem itu turut menghalang operasi pemadaman dari udara menggunakan pesawat dan helikopter.
Pihak berkuasa Greece mengeluarkan beberapa amaran kecemasan bagi mengarahkan penduduk dan pengunjung di kawasan terjejas berpindah ke lokasi lebih selamat.
Kira-kira 700 mangsa ditempatkan di sebuah dewan sukan tertutup, manakala yang lain berlindung di kediaman saudara-mara atau rakan. Pelancong pula dipindahkan ke hotel di kawasan yang tidak terjejas.
Dalam operasi pemindahan melalui laut, seramai 51 orang berjaya diselamatkan dari kawasan pesisir Preveli dan dibawa ke Agia Galini menggunakan kapal peronda Pengawal Pantai Greece dengan bantuan dua bot persendirian.
Lebih 190 anggota bomba bersama jentera, pasukan khas pemadaman kebakaran hutan, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan dikerahkan ke beberapa lokasi, namun angin kencang terus menyukarkan usaha mengawal kebakaran.
Kebakaran itu turut memusnahkan tanah pertanian, kawasan tanaman, padang ragut, kediaman serta mengorbankan ternakan.
Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala Pulau Crete kekal berada pada tahap risiko kebakaran hutan yang sangat tinggi berikutan angin kencang yang dijangka berterusan.
Sumber Berita: Bernama - Agensi Xinhua
Comments
Leave a Reply