PUTRAJAYA - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mohd Shuhaily berkata siasatan perlu dijalankan termasuk bagi mengenal pasti bagaimana rakaman berkenaan diperoleh serta tujuan ia disebarkan di media sosial.
Beliau berkata rakaman yang tular itu bukan diperoleh secara terus daripada sumber asal, sebaliknya dirakam menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.
Katanya, beliau menghormati proses siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, selain menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Mohd Shuhaily menjelaskan kejadian itu berlaku pada 28 September ketika beliau bersama pasukan membuat tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan AKPS menjelang ketibaan pengunjung sempena Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Menurutnya, selepas tinjauan berkenaan, pasukan AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA menjalankan penguatkuasaan terhad susulan aduan mengenai kegiatan ‘ulat’ membabitkan warga asing.
Seorang individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan kemudian ditahan dan dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi AVSEC untuk tindakan lanjut.
Mohd Shuhaily menegaskan proses pemeriksaan dan soal selidik itu hanya membabitkan pegawai AKPS dan AVSEC, tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguatkuasaan lain.
Beliau berkata ketika sesi berkenaan berlangsung, dua individu yang tidak dikenali dikesan merakam kejadian tersebut sebelum diarahkan memadamkan rakaman.
Mengulas laporan polis yang dibuat susulan insiden itu, Mohd Shuhaily berkata laporan terhadapnya dibuat sehari selepas kejadian, sebelum beliau dan pasukannya membuat laporan balas berhubung penularan rakaman tersebut.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan fakta sebenar berhubung kejadian itu, termasuk dakwaan berlaku kontak fizikal seperti yang dinyatakan dalam laporan polis.
Sementara itu, Mohd Shuhaily menegaskan AKPS akan terus meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk negara susulan aduan mengenai kegiatan penyeludupan bahan terlarang dan kontraban di KLIA.
Beliau turut menegaskan usaha membanteras kegiatan warga asing yang melanggar undang-undang akan diteruskan bagi memastikan keselamatan serta kawalan di lapangan terbang berkenaan kekal terjamin.
Sumber Info: Bernama
https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2614192
Sumber Gambar: Bernama
Comments
Leave a Reply