Geopolitic

BERSATU Buat Aduan Kepada RoS Berhubung Dakwaan Pelanggaran Perlembagaan PN – Azmin

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan berlaku pelanggaran Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) oleh kepimpinan baharu gabungan itu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata aduan bertulis berkenaan dikemukakan pada 11 Ogos lalu, antaranya membabitkan dakwaan BERSATU tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, tindakan yang didakwa menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, menyuarakan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN merupakan pelanggaran terhadap Perlembagaan PN.

Beliau berkata BERSATU turut membangkitkan kepada RoS dakwaan kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi PN.

“Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai ancaman dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan BERSATU sebagai parti anggota yang sah dalam PN.

“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden PN di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata RoS telah mengesahkan penerimaan aduan berkenaan dan memaklumkan bahawa penelitian sedang dijalankan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.

Beliau berkata dirinya turut hadir mewakili BERSATU untuk memberikan keterangan kepada RoS pada 18 Ogos lalu di Ibu Pejabat RoS, Putrajaya, berkaitan aduan tersebut.

Dalam pada itu, Azmin menggesa kepimpinan tertinggi dan pengurusan PN supaya tidak mempertikaikan peranan RoS dengan mengeluarkan dakwaan tidak berasas terhadap jabatan berkenaan.

Beliau berkata tindakan sedemikian tidak seharusnya dilakukan bagi meraih simpati politik atau menutup apa yang didakwanya sebagai kegagalan kepimpinan PN ketika ini.

Menurutnya, RoS juga telah beberapa kali memberikan peringatan secara bertulis kepada PN supaya memastikan semua aktiviti pertubuhan dijalankan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PN.

Perkembangan itu berlaku ketika RoS pada 23 September lalu mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua kegiatan PN di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan berkaitan aduan BERSATU. RoS bagaimanapun menjelaskan bahawa penggantungan tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN.

Sumber Info: Astro Awani 
https://www.astroawani.com/berita-politik/bersatu-jelaskan-sebab-aduan-terhadap-pn-kepada-ros 

Sumber Gambar: NSTP 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply