SEREMBAN — Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan perkara tersebut dalam satu sidang media di Wisma Persekutuan, Seremban.
Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menduduki tujuh kerusi.
"Seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan kali ini merangkumi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa," katanya.
Secara keseluruhannya, SPR melahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran proses pengundian yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini. PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan persaingan daripada 103 orang calon di 36 kawasan DUN, membabitkan seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos.
Susulan keputusan PRN tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim telah rasmi dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jabatan dan Sumpah Simpan Rahsia Menteri Besar Negeri Sembilan itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Pada upacara berkenaan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah mengingatkan Menteri Besar serta kesemua ADUN supaya sentiasa mematuhi dan menzahirkan taat setia kepada Institusi Diraja dalam melaksanakan amanah pentadbiran negeri.
Bercakap dalam sidang media sejurus selesai istiadat berkenaan, Ismail menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan negeri yang baharu akan terus mendokong Institusi Diraja serta memelihara adat istiadat Negeri Sembilan.
Beliau menyatakan menjadi tanggungjawab seluruh rakyat di negeri itu untuk memahami adat tempatan dan mempertahankan Institusi Diraja yang menjadi teras kepada sistem pemerintahan negeri.
Sumber Berita: Astro Awani
Comments
Leave a Reply