Economy

FMC: Pasaran Kewangan Malaysia Terus Stabil Dalam Persekitaran Global Berubah

KUALA LUMPUR: Pasaran kewangan Malaysia terus membuat penyelarasan secara teratur, disokong aliran dua hala yang seimbang bagi memastikan penentuan harga yang berkesan dalam kalangan peserta pasaran, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Ringkasan Perbincangan Mesyuarat FMC 2/2026, keadaan semasa kekal kondusif untuk syarikat korporat mendapatkan pembiayaan bagi memenuhi keperluan mereka.

FMC berkata, prospek jangka pendek masih berdepan cabaran daripada ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga minyak serta perubahan persekitaran kadar faedah global.

Bagaimanapun, peningkatan hasil bon baru-baru ini dilihat berpotensi menarik minat pelabur asing, susulan sentimen yang terus positif terhadap Malaysia.

“Langkah berterusan seperti program pelabur pemastautin yang layak serta penglibatan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat bagi membawa pulang serta menukarkan pendapatan mereka dalam mata wang asing dijangka terus menyokong pasaran pertukaran asing dan bon,” menurut FMC.

Jawatankuasa itu berkata pergerakan terkini turut dipengaruhi faktor luaran, khususnya perubahan dalam jangkaan kadar dasar Amerika Syarikat (AS).

Jangkaan kadar faedah AS yang lebih tinggi serta kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan AS telah mengukuhkan dolar AS dan meningkatkan hasil Perbendaharaan AS.

Keadaan itu turut mendorong penyesuaian lebih meluas dalam pasaran global, termasuk mata wang dan bon serantau.

Bagi pasaran mata wang, ringgit menyederhana pada September selepas secara amnya stabil pada Julai dan Ogos. Dalam tempoh sama, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat selepas mencatat kestabilan relatif untuk tempoh yang panjang.

Menurut FMC, pergerakan tersebut mencerminkan penilaian semula terhadap jangkaan kadar faedah global serta peningkatan hasil bon antarabangsa.

Ahli jawatankuasa turut mengambil maklum permintaan yang kukuh terhadap terbitan bon korporat serta peningkatan aktiviti lindung nilai.


Sumber Info: Bernama 
https://www.bernamabiz.com/news-bm.php?id=2612900 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply