WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkongsi salinan perjanjian keselamatan kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social, yang menurut beliau ditandatangani bersama beberapa pemimpin industri teknologi terkemuka, lapor Anadolu Ajansi.
Perjanjian yang dikenali sebagai “Joint Commitment on Frontier Responsibilities” itu menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuh aspek keselamatan dalam pembangunan dan penggunaan sistem AI termaju.
Dokumen berkenaan, yang dirujuk sebagai Perjanjian Rumah Putih mengenai “Super Intelligence”, menggesa syarikat yang membangunkan dan menggunakan model AI termaju supaya mewujudkan proses dalaman serta mekanisme kawalan yang kukuh bagi memastikan sistem beroperasi seperti yang dimaksudkan.
Ia turut menekankan keperluan mengenal pasti dan menangani sebarang masalah dengan segera, termasuk risiko berkaitan keselamatan siber, biokeselamatan dan ancaman kimia.
Menurut perjanjian itu, syarikat yang mengambil bahagian perlu melaksanakan empat lapisan kawalan dan audit yang merangkumi proses pembangunan serta penggunaan model AI.
Lapisan pertama melibatkan kawalan dalaman bagi memantau keupayaan dan tahap keselarasan model, selain mencegah sistem AI daripada menggodam atau mengakses sistem teknikal dengan cara yang tidak dimaksudkan.
Lapisan kedua menetapkan kewujudan pasukan dalaman yang bertanggungjawab memastikan kawalan, sistem pemantauan dan mekanisme pengesanan berfungsi dengan baik, selain mengambil tindakan terhadap sebarang isu yang dikenal pasti.
Bagi lapisan ketiga, syarikat perlu bekerjasama dengan juruaudit atau penilai luar yang bebas untuk menilai keberkesanan sistem kawalan dan pemantauan yang dilaksanakan.
Lapisan keempat pula melibatkan penubuhan jawatankuasa lembaga bebas bagi mengawasi keseluruhan proses, menerima laporan daripada pasukan dalaman serta penilai luar dan memastikan isu yang dikenal pasti diselesaikan.
Perjanjian itu menyatakan langkah berkenaan bertujuan meningkatkan keyakinan syarikat, pengawal selia dan orang awam terhadap keselamatan serta kebolehpercayaan model AI termaju.
Antara pemimpin industri yang menandatangani perjanjian itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google Sundar Pichai, CEO Anthropic Dario Amodei, CEO Meta Mark Zuckerberg, pengasas bersama OpenAI Greg Brockman, CEO xAI Elon Musk dan CEO Nvidia Jensen Huang.
Sumber Info: Bernama - Anadolu
https://www.bernama.com/bm/dunia/news.php?id=2613535
Sumber Gambar: AP - Astro Awani
Comments
Leave a Reply