KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini.
Perkara itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama hari ini.
Allahyarham berusia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak serta ahli keluarga yang lain.
Pemergian Dr Siti Hasmah merupakan satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam bidang perubatan dan khidmat kemasyarakatan, yang menjadi antara fokus utama sepanjang hayatnya.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, malah merupakan tokoh wanita yang mencipta sejarah melalui sumbangannya dalam bidang perubatan, kesihatan awam, kebajikan dan sukan.
Allahyarham merupakan antara wanita Melayu terawal yang diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak, sebelum dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Negeri Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak pada 1974, sekali gus mencatat satu lagi sejarah dalam bidang kesihatan negara.
Dalam bidang kemasyarakatan pula, Dr Siti Hasmah aktif menerusi Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), termasuk dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Komitmen beliau dalam bidang itu turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila dijemput oleh bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Nancy Reagan, menghadiri First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington pada 1985.
Selain bidang perubatan dan kebajikan, Allahyarham turut mempunyai minat mendalam dalam sukan, khususnya badminton.
Dr Siti Hasmah bermain badminton secara kompetitif sehingga usia 75 tahun dan dikenali sebagai antara tokoh yang dekat dengan perkembangan sukan badminton negara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia.
Dr Siti Hasmah juga merupakan isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang menerima Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), yang membawa gelaran Tun.
Pemergian Allahyarham hari ini turut menerima ucapan takziah dan penghormatan daripada orang ramai, yang mengenang jasa serta sumbangannya kepada negara sepanjang hayatnya.
Sumber Info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tun-dr-siti-hasmah-mohd-ali-meninggal-dunia-di-ijn-mokhzani
Comments
Leave a Reply