World

Gempa Colombia: Wanita diselamatkan selepas hampir 30 jam tertimbus dalam runtuhan

RIO DE JANEIRO: Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang wanita daripada runtuhan sebuah bangunan di Colombia pada Selasa, hampir 30 jam selepas gempa bumi kuat melanda negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Wanita berkenaan ditemui terperangkap di tingkat dua bangunan lima tingkat yang runtuh dan berjaya diselamatkan selepas operasi selama kira-kira 16 jam.

Anggota bomba Santiago Sanchez memberitahu penyiar Caracol bahawa pasukan penyelamat terpaksa menggali sedalam antara tujuh hingga lapan meter bagi mengeluarkan wanita itu dari runtuhan.

Menurutnya, keadaan mangsa adalah “baik, mengambil kira situasi yang dilaluinya”.

Bagaimanapun, kira-kira 24 lagi mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan berkenaan, dengan operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud itu berlaku pada 7.34 pagi Isnin (1234 GMT), berhampiran San Jose del Palmar di wilayah Choco, barat Colombia, pada kedalaman kira-kira 103 kilometer.

Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, berkata jumlah korban kini melebihi 250 orang, manakala sekurang-kurangnya 2,595 lagi cedera.

Gempa berkenaan merupakan antara yang terkuat melanda Colombia dalam tempoh beberapa dekad.

De la Espriella turut berkata seramai 195 orang direkodkan secara rasmi sebagai hilang. Bagaimanapun, sebuah platform dalam talian tidak rasmi yang membolehkan orang ramai mendaftarkan ahli keluarga yang hilang menyenaraikan lebih 4,000 kes.

Pakar bencana menganggap 72 jam pertama selepas gempa bumi sebagai tempoh paling kritikal untuk mencari dan menyelamat mangsa yang masih hidup.

Sumber Berita: Bernama 
Sumber Gambar: AFP
https://www.bernama.com/bm/dunia/news.php?id=2593312 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply