TEHRAN: Keadaan alam sekitar Selat Hormuz dan perairan sekitarnya perlu dijadikan syarat utama dalam sebarang rangka kerja pengurusan selat itu pada masa depan, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Baqaei menerusi hantaran di akaun X beliau pada Khamis berkata pertimbangan alam sekitar perlu dimasukkan dalam sebarang mekanisme pentadbiran Selat Hormuz pada masa depan.
Beliau berkata kenyataan itu susulan penyebaran video yang menunjukkan pencemaran minyak di sepanjang pantai Pulau Qeshm sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Pencemaran ini hanyut ke arah pantai dari Teluk Parsi dan bukti awal menunjukkan sebuah kapal kargo pukal asing sebagai puncanya. Pencemaran dikesan di tiga kawasan pantai dan beberapa bahagian permukaan laut,” katanya.
Baqaei berkata insiden itu hanyalah satu daripada contoh pencemaran yang berlaku secara terang-terangan atau tersembunyi, yang telah menjejaskan perairan Teluk Parsi dan Laut Oman serta ekosistem marin di rantau berkenaan sejak beberapa dekad lalu.
Beliau mendakwa kerosakan alam sekitar itu menyebabkan kerugian berjumlah beberapa trilion dolar kepada kawasan pantai Iran.
Baqaei turut mempersoalkan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membayar pampasan atas kerosakan tersebut, termasuk negara yang mendapat manfaat daripada eksport tenaga murah dari rantau itu, syarikat insurans perkapalan serta pihak yang menjalankan operasi ketenteraan dan ujian senjata di Teluk Parsi dan Laut Oman.
“Sebagai negara yang mempunyai garis pantai terpanjang di sepanjang Teluk Parsi dan Laut Oman, Iran tidak boleh berdiam diri,” katanya.
Beliau menegaskan setiap pihak yang mendapat manfaat daripada perkapalan komersial melalui Selat Hormuz mempunyai kewajipan dari segi undang-undang dan moral untuk membantu memulihkan kerosakan alam sekitar di Teluk Parsi dan Laut Oman.
Sumber Berita: Bernama
Sumber Gambar:
https://www.bernama.com/en/world/news.php?id=2594054
Comments
Leave a Reply