KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi bagi memperkukuh siasatan serta tindakan susulan berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengawasan dan memastikan kelemahan dalam pengurusan TH tidak berulang.
“Cadangan-cadangan yang bernas, kita akan ambil dan melihat cara yang terbaik untuk buatnya,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) supaya kerajaan menubuhkan multi-agency task force bagi memastikan siasatan terhadap isu berkaitan TH tidak dilaksanakan secara berasingan atau dalam silo.
Syed Saddiq berpandangan pendekatan itu penting bagi memastikan proses semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain membolehkan tindakan susulan diambil secara lebih tegas dan pantas.
Amir Hamzah turut mengambil maklum cadangan Datuk Mohd Radzi Jidin (Bersatu-Putrajaya) mengenai keperluan mewujudkan mekanisme pengawalseliaan yang lebih menyeluruh terhadap TH.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan sebarang ketidakpatuhan atau pelanggaran yang dikenal pasti menerusi RCI disiasat sehingga selesai dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Siapa yang bertanggungjawab, kita kena mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memperkukuh kerangka tadbir urus TH, termasuk melalui pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Menurutnya, pindaan berkenaan antara lain akan memperuntukkan larangan terhadap ahli politik yang masih aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH.
Selain itu, pelaburan TH akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, manakala pengisytiharan hibah akan dibuat berdasarkan akaun yang telah diaudit.
“Setiap keputusan mengenai Tabung Haji diukur dengan satu neraca saja iaitu kepentingan ummah,” katanya.
Sumber Berita: Astro Awani
Sumber Gambar: Berita RTM
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rci-tabung-haji-kerajaan-pertimbang-tubuh-pasukan-pelbagai-agensi-amir-hamzah
Comments
Leave a Reply