World

Indonesia Padam 5 Juta Akaun Pengguna Bawah Umur Demi Lindungi Kanak-Kanak Dalam Talian

JAKARTA: Indonesia telah memadam kira-kira lima juta akaun pengguna bawah umur daripada pelbagai platform digital selepas melaksanakan Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak (PP Tunas).

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid, berkata tindakan itu berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama erat dengan syarikat penyedia platform digital.

"Setakat ini, kami bersama platform digital telah memadamkan lima juta akaun milik kanak-kanak. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding sasaran yang ditetapkan, pencapaian ini mengatasi tindakan yang dilaksanakan TikTok di Australia pada peringkat global," katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara.

Beliau menjelaskan, Indonesia memilih pendekatan berasaskan risiko bagi melindungi kanak-kanak dalam talian berbanding mengenakan larangan umur secara menyeluruh seperti yang dilaksanakan di Australia.

Di bawah pendekatan itu, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan mengakses platform digital yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Menurut Meutya, PP Tunas bukan sahaja bertujuan mengehadkan akses kanak-kanak kepada platform tertentu, malah menggalakkan syarikat teknologi mereka bentuk semula perkhidmatan masing-masing agar lebih selamat untuk pengguna muda.

Sebagai contoh, platform permainan Roblox kini menyahaktifkan fungsi sembang secara lalai bagi pengguna di Indonesia yang berusia bawah 16 tahun, kecuali dengan kebenaran ibu bapa.

"Kami berharap usaha ini bukan sekadar menghalang kanak-kanak daripada membuka akaun, sebaliknya menjadi pemangkin kepada perubahan lebih menyeluruh dalam kalangan platform digital untuk meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan peraturan itu masih berdepan cabaran, khususnya dalam aspek pengesahan umur pengguna, memandangkan kebanyakan syarikat teknologi belum menggunakan teknologi yang lebih canggih seperti algoritma anggaran umur, pengecaman wajah atau analisis tingkah laku.

Beliau berkata, di bawah kerangka peraturan sedia ada, setiap syarikat diwajibkan mengemukakan penilaian kendiri yang menjelaskan tahap risiko perkhidmatan yang ditawarkan.

Sehingga kini, kementerian telah menilai 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik, dengan lapan daripadanya diklasifikasikan sebagai platform berisiko tinggi.


Sumber Berita: Bernama & Astro Awani
https://bernama.com/en/world/news.php?id=2590457 
https://www.astroawani.com/berita-dunia/indonesia-padam-lima-juta-akaun-dalam-talian-milik-kanak-kanak 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply