PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat reka bentuk yang disyaki memberi rasuah kira-kira RM300,000 kepada bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan projek ubah suai di agensi berkenaan.
Perintah reman selama dua hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada kira-kira 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2014 hingga 2018 dengan memberikan rasuah dalam bentuk kerja pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM300,000.
Penahanan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sumber Berita: Bernama
Sumber Gambar: Harian Metro
https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2590183
Comments
Leave a Reply