World

Pentadbiran Trump Sahkan Hampir AS$100 Bilion Bayaran Balik Tarif Susulan Keputusan Mahkamah

ISTANBUL: Kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan hampir AS$100 bilion (kira-kira RM425 bilion) bayaran balik tarif kepada pengimport susulan keputusan mahkamah yang membatalkan duti import kecemasan diperkenalkan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Selasa.

Lapor Anadolu Ajansi (AA), bayaran balik itu merupakan sebahagian daripada proses pemulangan kira-kira AS$166 bilion tarif yang dikutip menerusi dasar perdagangan dikenali sebagai "Hari Pembebasan" (Liberation Day).

Langkah itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS pada akhir Februari memutuskan bahawa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan tarif berkenaan.

Dalam pemfailan kepada Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS, pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP), Brandon Lord, memaklumkan agensi itu telah menyerahkan bayaran balik yang disahkan kepada Jabatan Perbendaharaan untuk diagihkan kepada pengimport yang layak.

Menurut beliau, jumlah yang telah diluluskan itu mewakili kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan duti yang dikutip di bawah akta berkenaan pada 2025, sebelum mahkamah mengarahkan kerajaan memulangkan semula wang tersebut.

Bagi mempercepatkan proses pembayaran balik, CBP mewujudkan sistem pemprosesan khas dikenali sebagai CAPE pada akhir April.

Sehingga 31 Julai, pengimport dan ejen kastam telah mengemukakan sebanyak 252,496 pengisytiharan bayaran balik yang melibatkan lebih 25 juta rekod import.

CBP turut memaklumkan bahawa hampir AS$128.7 bilion tuntutan bayaran balik telah disahkan untuk diproses, dengan hampir AS$100 bilion daripadanya telah diluluskan untuk pembayaran.

Bagaimanapun, proses pembayaran balik itu masih diteruskan kerana lebih 330,000 pengimport sebelum ini telah membayar tarif yang kini dibatalkan bagi lebih 53 juta transaksi import.

Perkembangan terkini itu dikemukakan susulan saman yang difailkan oleh syarikat pengimport berpangkalan di California, Freestyle World, yang memohon status tindakan kelas bagi mewakili perniagaan kecil yang mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan bayaran balik masing-masing.


Sumber Berita: Bernama - Anadolu (Astro Awani) 

https://www.astroawani.com/berita-dunia/pentadbiran-trump-sahkan-hampir-as100-bilion-pemulangan-tarif-susulan-keputusan-mahkamah 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply