World

Senator Demokrat dakwa Trump ‘kalah’ perang Iran, desak konflik ditamatkan

WASHINGTON: Senator Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS), Chris Murphy, menyifatkan Presiden Donald Trump telah “kalah” dalam konflik dengan Iran, sambil menegaskan perang yang berterusan hanya melemahkan Washington dan mengukuhkan kedudukan Tehran.

Murphy berkata beliau sanggup menyokong perjanjian yang mungkin merugikan AS sekiranya ia dapat menamatkan konflik berkenaan serta membuka semula laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz.

Beliau berkata demikian dalam program Meet the Press terbitan NBC News, ketika ketidaktentuan di Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia.

“Perang ini perlu ditamatkan kerana setiap hari konflik ini berterusan, Amerika Syarikat menjadi semakin lemah, Iran semakin kuat, dan rakyat di sini terbeban akibat kenaikan harga,” katanya.

Murphy turut berkata beliau akan menentang sebarang peruntukan dana bagi meneruskan perang, namun menyokong usaha untuk menambah semula stok peluru dan aset ketenteraan AS selepas konflik berakhir.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada Ahad menafikan bahawa rundingan secara langsung sedang berlangsung antara Tehran dan Washington.

Beliau juga menolak dakwaan pentadbiran Trump bahawa persetujuan mengenai pembukaan semula laluan transit di Selat Hormuz hampir dicapai.

Araghchi menegaskan bahawa Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sepenuhnya sehingga AS memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Tehran.

Ketidaktentuan berhubung status selat itu terus menjadi perhatian global memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan dan penghantaran minyak dunia.

Sumber Berita: Astro Awani - Agensi 
https://www.astroawani.com/berita-dunia/senator-dakwa-trump-kalah-gesa-perang-iran-ditamatkan 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply