Economy

Pengilang AS Kurangkan Kebergantungan Input China, Tingkat Sumber Bekalan Malaysia Susulan Tarif

KUALA LUMPUR -- Pengilang Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di Malaysia semakin mengurangkan kebergantungan terhadap input dari China serta meningkatkan penggunaan sumber bekalan tempatan susulan pelaksanaan tarif AS, menurut Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Datuk Siobhan Das berkata 43 peratus pengilang yang sebelum ini mendapatkan input dari China telah mengurangkan kebergantungan terhadap negara itu selepas tarif berkuat kuasa, manakala tiada responden melaporkan peningkatan kebergantungan.

Beliau berkata 36 peratus responden turut menyesuaikan strategi pemerolehan sumber atau pengeluaran bagi memenuhi keperluan peraturan asal barangan, sementara 34 peratus meningkatkan bahagian input yang diperoleh dari Malaysia.

“Walaupun berdepan semua gangguan itu, 86 peratus pengilang berkata model perniagaan asas mereka tidak berubah dengan ketara.

“Mereka mengubah sumber bekalan, penetapan harga dan pengeluaran, tetapi pada asasnya tidak mengubah komitmen mereka. Mereka menyesuaikan diri dan bukannya berundur, dan sebahagian daripada penyesuaian itu mewujudkan peluang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil tinjauan AMCHAM bertajuk Invested in Malaysia: The Economic Impact and Outlook of American Business di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Siobhan berkata sektor pembuatan merekodkan jumlah kos projek sebanyak RM42.86 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2025 yang dilaburkan dalam operasi mereka di Malaysia, meningkat hampir 51 peratus berbanding tinjauan terdahulu.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan perspektif jangka panjang syarikat terhadap Malaysia, selain mencerminkan keyakinan terhadap negara serta komitmen berterusan mereka untuk beroperasi di sini.

“Apa yang amat menarik ialah walaupun dalam kalangan pengilang yang mencatatkan penurunan hasil dalam tempoh tinjauan ini, jangkaan mereka masih menunjukkan pertumbuhan pada masa depan.

“Syarikat melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang boleh diatasi dan bukan alasan untuk meninggalkan Malaysia, dan kami melihat keyakinan yang sama dalam prestasi pelaburan Malaysia yang lebih luas ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata aspek bakat kekal sebagai antara kekuatan utama serta cabaran yang perlu ditangani Malaysia dalam usaha menarik lebih banyak syarikat AS.

Beliau berkata syarikat Amerika menghargai tenaga kerja berkemahiran yang terdapat di Malaysia, namun masih menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja dengan kemahiran terkini, khususnya dalam bidang kejuruteraan lanjutan, digital, data dan kecerdasan buatan (AI).

Tinjauan berkenaan menerima maklum balas daripada 88 syarikat anggota AMCHAM, termasuk syarikat multinasional AS yang terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan, perniagaan tani, perlombongan dan tenaga.

Sumber Info: BernamaBiz
https://www.bernamabiz.com/news-bm.php?id=2614508 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply